BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, November 7, 2010

Kenapa begitu?

Salam.

1, 2, 3, terkira-kira untuk letak tajuk yang sesuai buat cerita saya kali ni.
4, 5, 6, masih lagi terfikir-fikir apakah tajuk yang sangat sesuai untuk cerita kali ini.
7, 8, 9, 10...akhirnya, saya putuskan setelah tamat sahaja cerita saya nanti, barulah muncul TAJUK yang menjadi tajuk cerita saya kali ini. What ever.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah perkara yang sering saya fikirkan akhir-akhir ini.
Saya pun pelik, kenapalah baru sekarang saya terfikir. Tapi baguslah, sebelum terlambat.
Apa yang sering terfikir?
Saya terfikir, kenapa seseorang tu boleh buat kesilapan atau kesalahan ataupun dosa walaupun dia cukup dengan amalan sebagai seorang muslim? Solat, puasa, zakat dan sebagainya. Cukup kata, lengkaplah sebagai seorang muslim yang mengamalkan 5 Rukun Islam dan mempercayai 6 Rukun Iman.

Sebenarnya, jawapan kepada persoalan saya ini telah lama terjawab. Saya menemui jawapannya lebih kurang  2-3 bulan lepas. Pada bulan Ramadhan, di mana telah ada ceramah sempena bulan Ramadhan di tempat saya bekerja. Waktu tu selepas bacaan Yasin. Penerangan jawapan kepada soalan ini telah disampaikan oleh seorang penceramah yang dijemput dari salah satu kementerian. Malangnya saya tidak ingat nama penceramah ini dan dari mana. Apalah leka sangat...addooiii...

Jawapan dari hamba Allah ini mudah dan sangat boleh diterima pakai oleh otak saya. Ringkas, mudah, dan bijaksana. Iaitu...SOLAT. Soalan kepada jawapan, jawapan kepada soalan. Hubung kait yang sangat jelas. 
Walaupun kusyuk bersolat, tapi penyebabnya tetap solat juga.

Solat itu tiang agama. Seperti tiang kepada setiap rumah. Hendak membina rumah, perlukan banyak tiang. Selebihnya pula memerlukan bahan-bahan asas yang lain. Banyak jenis solat yang boleh dilakukan, bukan hanya bergantung pada yang fardhu sahaja. Bahan asas yang lain, menyeliputi fardhu kifayah. Amalan seharian, bersedekah, mengaji, belajar agama, berjihad  dan macam-macam boleh dibentuk untuk mencipta bahan asas itu.

Kenapa rumah sudah siap, tetapi tetap ada kerosakan nya? Masih ada cacat celanya? Boleh dijadikan penyebab adalah pada bahan-bahan yang digunakan. Mungkin tiada kualiti, mungkin tidak teliti, atau sebenarnya tiada perancangan yang teratur? Hendak salahkan siapa? Bahan-bahan, arkiteknya, atau pada pembina yang membinanya?
Tepuk dada, tanya selera.

Sebagai seorang muslim, ramai yang mengaku mereka bersolat. Ramai yang berlumba-lumba buat amal jariah.
Tapi, sebenarnya semakin mereka asyik membina pahala, semakin banyak dosa yang mengejar. Kenapa begitu? Pendapat saya, ianya kerana niat. Niat seseorang itu, tak siapa pun yang tahu melainkan Allah s.w.t. Kerana Dia Maha Mengetahui apa yang tersirat itu. Seikhlas mana seseorang itu membuat amal, hanya Dia yang tetap Maha Mengetahui.
Tidak layak untuk saya mempersoalkan niat seseorang hamba itu. 

Manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan. Ramai yang sering berkata begitu. Adakah itu penjelasan atau hanya alasan dalam kepura-puraan untuk menyorok dari kenyataan? Memang benar, tetapi kenapa harus jadikan itu jawapan. Kenapa kita tidak melihat apa sebenarnya yang telah kita lakukan, dan tidakkah kita seharusnya berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara? Lupa dan alpa. Itulah hakikat sebenarnya diri manusia itu. Kita lupa untuk berfikir dan kita juga alpa dengan nikmat.
Kenapa kita masih dicurahkan rezeki yang berlimpah ruah, dan nikmat yang tidak ada hentinya sedangkan kita hanya senyum gembira tatkala senang, tunduk ke bumi bila rebah dan mendongak sombong bila berjaya? Kenapa kita hanya duduk,tunduk dan menangis sambil menadah tangan tatkala ditimpa musibah? Tidakkah kita sebenarnya boleh senyum gembira, tunduk takut dan mendongak sambil menadah tangan memanjat kesyukuran? Kenapa perlu tunggu saat-saat yang hiba? Adakah kita hanya ingat pada-Nya tatkala susah dan lupa pada-Nya tatkala senang? Adilkah begitu? 

Sebenarnya perkara sebegini bukan sahaja berlaku kepada mereka yang alpa tetapi tetap juga berlaku kepada setiap hamba Allah yang masih bernafas di dunia pinjaman-Nya ini.
Sekali lagi ditegaskan, solat juga penyebabnya. Tetap juga solat. Solat dan solat. Andai manusia itu tidak bersolat, padanlah dia ditimpa kesusahan. Tetapi bagi yang bersolat, kenapa masih ditimpa bebanan juga? Juga, kenapa yang tidak bersolat tetap diberikan nikmat? Allah Maha Mengetahui. Tiada Dia jadikan sesuatu itu tanpa sesuatu disebaliknya. Dan tidaklah Dia jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Manusia sering diuji. Bila saatnya, Dia juga yang Maha Mengetahui.

Jangan salah tafsirkan apa yang cuba saya jelaskan. Bagi saya, orang yang cukup amalan nya sebenarnya ada kurangnya. Saya sendiri tertanya, kenapa saya bersolat tapi saya tetap melakukan kesilapan? Adakah sebab saya tahu, kalau kita bersolat kita boleh minta ampun. Hah!! Semudah itu. Itu kata-kata dari hati yang jahil. Adakah sebab saya yakin Allah Maha Pengampun? Hahhh!!! Semudah kata-kata. Itu pendapat yang sombong. Kenapa perlu saya mengharapkan pengampunan tanpa sebarang balasan yang perlu diterima. Takut!! Begitulah manusia, takut menerima balasan tetap berani dan tidak tahu malu pula meminta-minta.

Saya kembali berfikir kepada jawapan dari penceramah itu. "Mereka yang bersolat namun melakukan kesalahan, apakah puncanya?". Jawapannya "....there's something wrong with their solat..."
Ya, ada sesuatu yang tidak kena dengan solatnya. Maka ada sesuatu yang tidak kena dengan solat saya.
Apa yang tidak kena? Saya boleh katakan, mungkin kerana kita bersolat kerana perintah agama, kita bersolat kerana ibu bapa, kita bersolat kerana diri kita, kita bersolat kerana kita perlu bersolat atau kita bersolat kerana "i'm muslim"!! Jadi wajib untuk saya bersolat. Begitu??? Itu bukan jawapan, itu alasan.

Kenapa kita tidak kata ianya kerana Allah? Lupakah kita pada-Nya?? Apakah kerana Dia tidak menjelma di depan mata kita maka kita lupa pada-Nya??
Saya bersolat kerana Allah. Ya, itu jawapan yang akan saya berikan andai hati saya masih lagi bertanya. Kerana saya ingin berterima kasih kepada-Nya, kerana saya ingin berjumpa dengan-Nya, kerana saya ingin bercakap dengan-Nya dan kerana saya ingin mengadu kepada-Nya.

Bila kita bersedia untuk menjadi hamba-Nya yang taat, bukanlah masa yang tentukan. Masa itu tetap berjalan. Tidak akan berhenti. Kita sebenarnya yang akan tentukan. Bukan masa. Kita juga sebenarnya yang tentukan masa itu. Kenapa perlu beri jawapan yang cliche sedangkan jawapan yang tepat datang dari akal dan hati kita? Tepuk dada, tanyalah iman sekarang.

Jangan biarkan kita dihimpit dengan perkataan "ada yang tidak kena dengan solat anda" dalam diri kita.
Biarkan rumah yang kita bina itu, lengkap dan sentiasa teguh walau ditimpa badai. 
Pastikan bahan-bahan asas kita cukup dan berkualiti untuk rumah yang kita binakan itu.
Jangan jadikan alasan sebagai jawapan sebaliknya carilah penjelasan bagi persoalan yang datang.



Perlukah saya selitkan ini? Sedikit kekeliruan yang perlukan kepastian....
Saya sering tertanya, "betulkah wujud 'Karma' dalam hidup setiap manusia?" "bolehkah perkataan 'What goes around comes around' diterima pakai?" dan "benarkah kata orang 'buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat'...?"
Ketiga-tiga terma tu saya pernah lihat ianya terjadi. Tapi kebanyakkan hanya dalam televisyen, atau melalui pembacaan dan juga dari penceritaan orang disekeliling saya. Mungkin saya boleh mengaku juga, ianya ada juga terjadi dalam kehidupan saya. No comment. Haha.
Semua ini perjalanan kehidupan... :-)

0 comments: